welcOme ^^

~

Saturday, May 14, 2011

heaRt..



Orang kata, apa-apa yang terzahir pada diri kita, mencerminkan apa-apa yang tersirat di dalam hati seseorang.

Jika hati seseorang itu wangi, maka harumlah segala peribadinya.

Jika orang kata hatinya ‘biasa-biasa’ saja, peribadinya juga tidak ada yang istimewa sangat.

Andai hati itu senget, maka tergelincirlah setiap tingkah laku pemiliknya.

Jika hati busuk, buruklah perangai yang ditonjolkan.

Itulah hati kita. Sering berbolak-balik, dan penuh dengan gundah gelana. Malah, pepatah Melayu pun ada menyentuh tentang hati. ‘Ikut rasa binasa, ikut hati mati’

Benarkah begitu?

Hati Manusia

Telah diriwayatkan oleh Abu Ubaid al-Nukman bin Basyir sepotong hadis berkenaan hati manusia.

“Ketahuilah bahawa dalam tubuh itu ada seketul darah beku, apabila baik darah itu, maka baiklah segenap batang tubuh, dan apabila binasa ia, maka binasa pulalah seluruh batang tubuh. Ketahuilah ianya hati.”

Setiap diri manusia itu sama. Hanya dikurniakan satu hati untuk mengawal setiap gerak geri tubuh badan. Dari bangun pagi hinggalah bangun pagi keesokkan harinya. Semua dikawal dengan hati. Boleh juga dikatakan, hati manusia umpama sebuah alat kawalan. Dan pengawalnya adalah pemilik hati itu sendiri – KITA. Kita berhak sepenuhnya untuk mengawal hati kita dengan cara kita sendiri.

Bagi pemilik-pemilik hati, mereka semua diberi manual untuk mengawal hati. Pilihannya cuma dua. Sama ada untuk mengikut manual yang telah tersedia itu atau bertindak sesukanya untuk mendidik hati itu.

Seperti Sayid Al-Qutb, beliau merasa kehidupannya diberkati Allah setelah berjaya mengawal hatinya dengan Al-Quran, yang merupakan manual untuk mendidik hati manusia. Beliau merasakan, kehidupannya sebelum ini hanyalah sebuah kehidupan yang sia-sia, kerana tidak memahami apa-apa yang tersirat di dalam Al-Quran walaupun beliau seorang hafiz Al-Quran.

Kita dan Manual Hati Kita

Ayuh kita muhasabah diri masing-masing. Adakah kita telah mendidik hati kita dengan didikan yang telah diajar di dalam Al-Quran dengan sebaik-baiknya? Adakah apa-apa yang terzahir pada keperibadian kita itu, akhlak-akhlak mulia yang diajar di dalam Al-Quran? Mungkin jawapannya ‘ya’ dan mungkin juga ‘tidak’.

Saya akui, sukar untuk mendidik hati. Lebih-lebih lagi, dalam diri ada nafsu. Musuh ketat kita sendiri. Kadang-kadang kita rasa seperti kalah dalam perjuangan hidup, kerana terlalu mengikut bisikan nafsu. Malah, bagi pemilik hati yang dikawal oleh nafsu semata-mata, kehidupannya jauh menyimpang dari jalan yang ditunjukkan di dalam manual hati Al-Quran.

Rasulullah juga ada bersabda, peganglah pada Al-Quran dan sunah, kita tidak akan hidup dalam kesesatan dengannya. Jadi, marilah kita sama-sama mencari jalan pulang kepada ajaran agama Islam yang sebenar-benarnya. Marilah kita mendidik hati-hati kita dengan didikan yang terkandung di dalam Al-Quran. Semoga, pemilik-pemilik hati yang Islam ini dapat menzahirkan keperibadian seorang mukmin dan mukminah. Semoga kita tidak menjadi fitnah ke atas agama kita sendiri.


frOm : http://azzariyat.com/

No comments: