Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya: "Sungguh baik nasib orang yang beriman kerana dalam semua keadaan mereka mendapat kebaikan. Dan tidak ada habuan baik seperti ini kecuali bagi mereka yang beriman. Apabila mendapat kesenangan maka ia akan bersyukur, maka syukur itu baik baginya. Dan apabila ditimpa musibah maka ia bersabar, maka sabar itu baik baginya."
(Hadis Riwayat Muslim)
Entah mengapa, hati aku merasa tenang setiap kali teringatkan mereka. Aku jadi rindu untuk mendampingi mereka. Setiap kali melihat mereka, wujud pelbagai perasaan dalam hati ini. Tenang, iri hati dan cinta.
Terasa seperti sudah lama kami berkenalan walau kami hanya bertentang mata, mengangguk kepala tanda menyapa dan saling berbalas senyuman. Aku suka melihat muka mereka yang bersih, berpakaian yang sederhana, dan sentiasa kelihatan sopan walaupun ketika berseorangan.
Aku melihat sahabat-sahabat mereka sangat senang dengan kehadiran mereka. Pada setiap pertemuan, dimulai dan diakhiri dengan senyuman. Sungguh aku sangat menghormati mereka, kerana kekuatan yang ada pada jiwa mereka. Biar datang ujian dunia, biar datang nikmat dunia, dia tetap kelihatan seperti biasa. Aku ingin menjadi seperti mereka.
Bagi mereka, yang baik itu datangnya daripada Allah, dan segala yang datangnya daripada Allah adalah baik-baik belaka. Muhammad Rasul Allah menjanjikan haram neraka ke atas mereka.
Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya: "Bukankah aku telah memberitahu kamu semua tentang orang yang diharamkan masuk ke neraka atau orang yang diharamkan ke atasnya neraka? Mereka ialah orang yang berdamping rapat dengan orang ramai (baik pergaulannya), hatinya tenang, berlemah-lembut serta mudah dibawa berunding."
(Hadis Riwayat At-Tirmizi)
Sesungguhnya, Allah dan rasulNya juga lebih mengetahui. Semoga kita beramal seperti seorang Muslim sehingga kita berupaya melaungkan "Saksikanlah! Aku seorang Muslim!" tanpa keraguan.
info : iluvislam ~
No comments:
Post a Comment